
JOHNNY Lucas menunjukkan sebahagian daripada setem yang disusun dalam bingkai gambar miliknya.
MIRI 29 Mei – Gambar kanak-kanak Orang Ulu menyalakan api menggunakan kayu buluh, Salong atau perkuburan lama masyarakat Kayan yang diperbuat daripada kayu belian dan seorang gadis Iban yang hanya memakai kain sarung tanpa baju merupakan antara imej menarik di Pameran Filateli Lucas Johnny di Pustaka Miri.
Walau bagaimanapun, amat sukar menemukan setem atau poskad yang mengandungi gambar tersebut malah mustahil menemukan wanita muda Iban yang masih mengekalkan pakaian sedemikian.
Jika sesetengah budaya itu masih wujud seperti wanita Melanau menganyam bakul dan lelaki Kayan sedang menari seperti imej pada setem dalam era 50-an, setem seumpama itu tidak lagi dikeluarkan sekali gus menjadikannya koleksi unik dan menarik untuk dimiliki.
Suatu ketika dulu, setem umpama duta kecil kerana pemilihan gambar yang digunakan secara tidak langsung memperkenal keunikan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Penggunaan setem untuk urusan rasmi kerajaan sama ada dalam dan luar negara pada masa itu telah membawa imej Sarawak ke merata tempat di dunia,” kata pemilik lebih 7,000 keping setem, Johnny Lucas, 72, ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Lucas yang lahir di Kuching namun sudah lama menetap Miri menambah, setem di Sarawak mula menggunakan imej masyarakat pelbagai kaum sekitar 1953 iaitu selepas Ratu Elizabeth menaiki takhta pada 1952 diikuti majlis pertabalan setahun selepas itu.
Turut berada dalam simpanan Lucas ialah setem paling awal yang digunakan iaitu setem tiga sen yang dikeluarkan pada 1 Mac 1869 sewaktu era James Brooke.
Setem yang tertua saya kumpul ialah setem Ratu Victoria yang mulai digunakan pada 1840 yang mana seluruh dunia menggunakan setem tersebut antaranya Tanah Melayu, Singapura, Hong Kong dan Eropah,” jelasnya.
Lucas menambah, tiada apa yang menggembirakan daripada menemukan setem yang tersalah cetak kerana setem sedemikian mempunyai harga tinggi dan selalu dilelong di laman niaga maya seperti eBay.
Dulu saya pernah mendapatkan koleksi tersebut di eBay, namun kebanyakan koleksi yang saya ada dibeli daripada pengumpul selain diperoleh daripada kenalan di merata dunia.
Malah, baru-baru ini, saya menggunakan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) untuk menambah wang simpanan bagi membeli koleksi setem lama yang saya tahu amat sukar ditemui dan bernilai tinggi,” katanya.
Koleksi yang dibeli Lucas menggunakan wang BR1M itu merupakan satu set yang mengandungi 11 keping setem yang dijual dengan harga RM1,450.
Antara koleksi setem menarik yang turut dipamerkan Lucas ialah koleksi setem penghibur ternama dunia, Michael Jackson, puteri kesayangan Britain, Puteri Diana, koleksi setem pelakon dan pemuzik terkenal tanah air, P. Ramlee dan koleksi setem Rajah-rajah Brooke Sarawak.
Saya sanggup menyimpan wang demi membeli barangan antik termasuk koleksi setem lama yang amat sukar ditemui dan dijual dengan harga yang tinggi,” katanya.
Menyentuh Pameran Filateli Lucas Johnny yang bermula sejak 6 Mei lalu, katanya, pameran itu bertujuan menanam minat dalam kalangan generasi muda terhadap setem, poskad dan sampul surat pertama.
Poskad misalnya, boleh disimpan atau digantung, namun tidak sistem pesanan ringkas (SMS) yang senang dibuang.
Saya berharap pameran seumpama ini akan dapat menghidupkan semula hobi mengumpul setem dalam kalangan generasi muda,” katanya.
-UTUSAN